Teks: Dalila Binti Mohd Yusof
Bismillahirahmanirahim....
Hari ini, saya ingin berkongsi pelajaran berharga yang saya perolehi melalui KTC Morning Riser 12. Pada hari pertama, kami membincangkan topik "Giving Up vs Surrender."
Dulu, saya sering melihat ujian yang datang dalam hidup ini sebagai satu teguran daripada Allah, suatu panggilan untuk bertaubat. Memang benar, ujian itu merupakan petanda bahawa Allah ingin kita kembali kepada-Nya. Namun, saya menyedari bahawa cara saya melihat situasi itu dari perspektif seorang mangsa. Dalam keadaan itu, saya sering merasa putus asa, menganggap diri tidak berguna, dan ini membawa kepada "giving up." Saya menyerah tanpa berusaha, merasa terperangkap dalam kekecewaan dan kegagalan.
Kini, setelah mengikuti modul-modul KTC yang membuka perspektif minda baru, saya mula memahami perbezaan antara "giving up" dan "surrender."
Giving Up adalah tindakan berhenti tanpa berusaha lagi, yang biasanya dipenuhi dengan rasa putus asa dan kekecewaan. Ia adalah menyerah kalah tanpa mencuba, yang membuat kita terperangkap dalam sikap negatif dan sering kali merugikan diri sendiri.
Sebaliknya, Surrender adalah tindakan melepaskan hasil kepada Allah setelah kita berusaha sehabis baik. Ia melibatkan penerimaan bahawa kita tidak mempunyai kawalan penuh terhadap sesuatu situasi, tetapi tetap percaya kepada kebijaksanaan-Nya. Dengan surrender, saya belajar untuk melihat ujian sebagai peluang untuk berkembang dan mendekatkan diri kepada-Nya, bukannya sebagai beban atau hukuman.
Saya mengibaratkan surrender ini seperti payung simbolik kesabaran yang melindungi saya daripada hujan ujian dan cabaran hidup. Dan dengan penuh keyakinan, saya menyerahkan urusan saya kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya, dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.
surah al- Ghafir ayat 44
"Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya".
Kini, saya berusaha untuk menerima ujian sebagai peluang untuk belajar dan berkembang. Saya memahami bahawa ujian adalah cara Allah untuk memaksa saya bergerak ke arah yang lebih baik—menambah ilmu dan memperbaiki cara saya memandang pelbagai isu dengan perspektif "Growth Mindset."
Setiap cabaran yang datang tidak lagi saya anggap sebagai hukuman, tetapi sebagai langkah untuk menjadi versi yang lebih baik daripada diri saya sendiri. Ini adalah perjalanan yang tidak mudah, tetapi saya percaya bahawa setiap ujian membawa hikmah yang perlu saya gali.
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama