Bertenang Pasti Boleh
Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim.....
Benang biru berselirat di tangannya, seperti pemikirannya dan emosi yang berkecamuk. Tina menggenggam benang itu erat, matanya memandang simpulan yang tak berujung. Nafasnya tersangkut-sangkut, dan jari-jarinya bergerak liar, menarik dan mengurai, tapi setiap usaha hanya menambah kekusutan.
Pemikirannya makin ligat berfikir tentang projek kaitan, penulisan dan pelbagai lagi kerja rumah. Sebentar lagi, dia perlu masak makan malam untuk anak-anak dan suami yang akan pulang rumah sebentar lagi. Ligat otaknya berfikir, bising dan bingit seperti ada bunyi suara yang ramai.
"Kenapa makin kusut ni? Arrrgh…” suara jeritannya memecahkan kesunyian bilik itu.
Sangat kuat, memenuhi ruang kecil bilik itu. Dia menghempaskan benang ke atas karpet, tubuhnya jatuh terduduk. Hatinya bergemuruh. Mata yang mula berair dikesat kasar dengan lengan baju.
Dia memandang kosong ke arah benang yang bersimpul-simpul itu. Seolah-olah benang itu mentertawakannya, melambangkan segala masalah yang menghimpitnya: projek yang belum selesai, kerja rumah yang menanti, dan beban fikiran yang semakin berat.
Dengan nafas yang tertahan, Tina bangkit perlahan.
“Cukup….aku perlu bertenang. Nanti aku akan datang semula leraikan benang ni. ”
Dia melangkah keluar ke halaman, menutup pintu di belakangnya. Udara petang menyapa kulit wajahnya yang tegang. Cahaya lembut itu menyentuh pepohon yang bergoyang ditiup angin. Tina berdiri di situ, hanya memejamkan mata. Dia menarik nafas dalam-dalam, membayangkan udara segar itu masuk ke jiwanya yang berserabut, dan melepaskan nafas dengan perlahan.
Langkahnya membawa dia ke bawah pokok mangga yang berbuah kecil. Sebuah senyuman kecil muncul ketika tangannya menyentuh permukaan batang pokok yang kasar. Kedengaran kicauan burung di atas dahan. Dia memandang ke langit, awan bergerak perlahan, memberikannya rasa bahawa waktu juga tidak tergesa-gesa.
Selepas beberapa minit, Tina masuk semula ke rumah. Dia memandang benang itu, kali ini tanpa beban di dadanya dan minda yang tenang. Duduk bersila, jemarinya bekerja semula. Tetapi kali ini, pergerakannya lembut, penuh kesabaran. Simpulan pertama terurai, diikuti yang kedua. Nafasnya terasa ringan.
“Ah-ha,” bisiknya perlahan, menarik hujung benang yang mula tersusun.
Dia terus menggulungnya, perlahan tapi pasti. Setiap lilitan benang memberikan rasa puas, seperti masalahnya sedang dileraikan satu persatu.
Akhirnya, benang itu menjadi sebiji gulungan benang sempurna di tangannya. Dia memandangnya, senyuman lebar menghiasi wajah.
"Siap ta-da…."
Tina berdiri dengan memegang bebola benang yang siap di tangan kanannya. Dia memandang gulungan benang itu dengan rasa puas.
"Kadang-kadang, nak selesaikan sesuatu, kita cuma perlu berhenti sekejap dan beri diri masa untuk bertenang." Getus dalam hatinya penuh kesedaran.
Dalilayusof-26/11/2024
Label: Self development
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama