Isnin, 2 Disember 2024

Rendahkan Hati, terima Ilmu

 


Rendah Hati Menerima Ilmu
Teks: Dalilayusof
Farah seorang wanita yang muda dan telah berjaya menjadi usahawan terkenal. Namun sangat keras kepala, seringkali merasakan dirinya hebat. Dia terkenal dengan kepintaran dan keberaniannya.
Setiap kali ada masalah, Farah selalu merasa dia mampu menyelesaikannya sendiri. Dia tidak pernah mahu mendengar pendapat orang lain, terutama dari orang yang lebih tua atau yang dianggapnya kurang berpengalaman. Farah sering berfikir,
"Saya tahu apa yang terbaik untuk saya dan perniagaan saya. "
Suatu hari, Farah duduk di hadapan ibunya, Siti, sambil mengeluh tentang masalah perniagaan yang dihadapinya.
"Ibu, saya rasa sudah cukup usaha. Tapi kenapa saya rasa semuanya masih tak berjaya? Kenapa orang lain mudah saja berjaya?"
Ibu Siti mengangkat kening dan tersenyum lembut. Dia jeda sebentar, menghela nafas tersenyum memerhatikan Farah yang kelihatan letih. Di atas meja, ada satu cawan kosong yang sudah lama diletakkan. Ibu Siti mengangkat cawan itu dan berkata perlahan,
"Farah, pernahkah kamu mendengar tentang 'cawan yang direndahkan'?"
Farah mengerutkan dahi. "Cawan yang direndahkan? Maksud ibu?"
Ibu Siti meletakkan cawan hijau itu di hadapan Farah.
"Lihat cawan ini. Bayangkan ia adalah diri kita. Kalau kita meletakkan cawan ini terlalu tinggi daripada teko. Air kopi tidak dapat masuk ke dalamnya."
"Tetapi jika kita rendahkan cawan ini di bawah teko. Air akan masuk dengan mudah. Sama seperti dalam hidup kita, Farah. Jika kita terlalu bangga dengan diri sendiri dan tak mahu mendengar nasihat orang lain, kita menutup ruang untuk menerima ilmu dan pengajaran baru. Kita tak sedar ada pelajaran baru yang Allah hantarkan melalui orang-orang disekeliling kita."
Farah terdiam, memikirkan kata-kata ibu. Selama ini, dia merasa dirinya sudah cukup pandai, sudah cukup hebat. Dia tidak peduli dengan pandangan orang lain kerana dia rasa dirinya tahu segalanya. Apabila dia terduduk dengan masalah yang dihadapinya barulah dia dapat melihat perkara ini. Kata-kata ibunya sangat menyentuh hatinya.
Ibu Siti melanjutkan,
"Kadang-kadang, kita perlu merendahkan cawan kita. Mengakui bahawa kita tidak tahu segalanya. Barulah ilmu dan hikmah akan masuk, dan kita akan belajar daripada setiap pengalaman dan orang yang kita temui."
Farah menggigit bibir, menyedari kesilapannya. Dia mula merasakan betapa selama ini dia telah menutup diri daripada banyak perkara kerana terlalu yakin dengan pendapatnya sendiri. Dia tidak pernah benar-benar mendengar nasihat ibunya atau orang lain.
"Jadi, apa yang perlu saya buat, ibu?" tanya Farah, dengan suara lembut, sedikit malu.
Ibu Siti tersenyum dan mengusap rambut anaknya dengan penuh kasih.
"Buka fikiran dan rendahkan hati, Farah. Biarkan cawanmu direndahkan. Jangan terlalu bangga dengan apa yang kamu tahu. Dunia ini luas, dan setiap orang ada sesuatu yang boleh diajarkan.
Apabila kita merendahkan diri, kita membuka peluang untuk belajar dan berkembang. Hanya dengan itu, kita dapat menerima air yang penuh manfaat."
Farah menundukkan kepala, berjanji dalam hati untuk lebih terbuka dan rendah hati. Dia tahu perjalanan hidupnya masih panjang, dan untuk terus maju, dia harus belajar untuk merendahkan "cawan" itu.
Hari itu, Farah mula mengambil masa untuk mendengar, menerima teguran, dan belajar dari orang lain. Dengan langkah yang lebih yakin dan hati yang lebih terbuka, Farah menyedari bahawa setiap teguran dan nasihat yang diterima adalah seperti air yang mengisi cawan hidupnya, menjadikannya lebih penuh dan lebih bermakna.
Mungkin imej 1 orang, tudung kepala dan teks

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama