Buat dahulu, kekemasan kemudian

Teks: Dalila Yusof

Bismillahirahmanirahim...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat pembaca sekalian, hari ini saya mahu berkongsi pengalaman menjahit baju dan mengait beg yang saya belajar menggunakan internet. Sukar sebenarnya, tapi kuatkan semangat gara-gara nak berjimat cermat di waktu gawat ini. Seronok menghasilkan baju dan aksesori, dan anak amat gembira memakainya. Kadang-kadang rasa menyesal timbul, gara-gara tak belajar menjahit dan mengait waktu sebelum kahwin dan belum beranak pinak. Tapi kalau anak tak berderet masakan berusaha nak belajar mengait dan menjahitkan, he..he.. Semuanya dibeli, iyalah duit masih banyak, berjoli tak sedar dirilah.Satu hari nanti saya akan ajar anak-anak menjahit juga, cuma kesabaran masih belum lagi tebal, ajari dulu membaca dan mengeja. Sudah pandai baru beralih ke kemahiran hidup pula.

Zaman internet ini, membuatkan surirumah tak bosan di rumah, selepas kahwin barulah saya tahu betapa penting internet di rumah. Suami banyak kali mengingatkan supaya guna kepada perkara berfaedah sahaja. Iya, saya sudah buktikan banyak juga baju saya jahit. Walaupun hakikatnya senget benget. Tapi, terharunya anak-anak memakai dengan rasa teruja.

Namun, kelemahannya belajar di internet lambat nak siap. Terkial-kial, men'google' apa yang kita tak paham. Misalnya, cara nak buat kolar bajulah, nak buat lubang butanglah. Anak-anak masih kecil, jadi sukarlah nak ke kelas kemahiran dan meninggalkan anak-anak. Siapa sangka hobi mengait saya hanya menuntut ilmu daripada blogger-blogger kait yang jauh di seberang sana. Ada yang daripada Rusia, Amerika, Jepun dan banyak tempat lagi hanya melalui internet. Tapi harap faham, pertama kali kita lakukan tak mungkin sekemas dalam blog yang kita lihat. Nampak sahaja mudah, tapi hasilnya tak sama, perlukan latihan berganda-ganda. Bukannya sekali sahaja sudah berjaya.

Sekian bebelan hari ini. Nanti saya tulis lagi ya.


Iklan-iklan:

Promosi ebook bulan Feb ini.




Ulasan