Projek kait 2015 hingga kini.
Teks:Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...
Blog saya sudah bersawang lebih 3 bulan, jadi hari ini saya mula sapu-sapu sawang di blog. Ada projek yang saya lakukan walaupun senyap di blog. Antaranya, mengait topi sebagai hadiah untuk harijadi anak buah, mengait sarung teko untuk perhiasan, hadiah buat mak mertua dan juga menyiapkan tempahan penanda buku untuk seorang rakan blogger. Menulis ini umpama hobi mengait, perlu diasah setiap hari, kalau tak tumpullah kemahiran menulis ini nanti.
Hari ini saya kongsikan beberapa projek yang saya siapkan dalam tempoh mendiamkan diri tahun lepas. Apa yang saya pelajari tahun lepas, cukup bermakna buat saya. Jangan ditanya lagi bagaimana nak menjadi penulis hebat, kalau tidak mahu berlatih setiap hari. Kita bukan dalam dunia magik, hanya minta kemudian jadilah. Berdoa dengan Allah s.w.t juga perlukan usaha.
Mungkin dalam dunia filem, semuanya nampak mudah, berusaha kemudian berjaya. Tapi hidup tak semudah itu, semua cabaran, kesakitan dalam mengejar dan mencapai impian kita, sangat penting diterima dan redah sahaja. Daripada situlah, kita membina diri kita yang kuat dan faham dengan diri dan semakin mahir dalam menempuhi hidup yang makin sukar.
Satu lagi, jangan leka duduk di rumah, kerana kita rasa kita banyak masa, sebagai surirumah. Kita perlu uruskan anak-anak yang banyak karenah, sudah tentu sukar untuk diatur jadualnya. Kadang-kadang, ada sahaja perkara yang perlu diselesaikan dan tidak mengikut rancangan kita. Ada juga karenah-karenah manuasia yang tak faham dengan kerja kita di rumah. Itu semua cabaran yang perlu kita uruskan dengan baik jika kita mahu berjaya bekerja dari rumah. Tapi, bekerja dari rumah sebenarnya melatih diri kita meluangkan masa dengan anak walaupun sesibuk mana pun kita dengan perniagaan dan juga menguruskan masa yang sangat sedikit. Biasanya kita makin banyak idea menguruskan anak-anak apabila kita teruskan juga untuk berbisnes di rumah sambil menjaga anak. Permulaan mungkin sukar, lama-lama kita rasa makin mudah. Inilah kita katakan zon kurang selesa surirumah, kelamkabut menguruskan anak-anak dan rumah tangga sambil bekerja dari rumah. Tak selesa, tapi di sini kita belajar merangkak-rangkak membina kerjaya dari rumah tanpa meninggalkan anak-anak yang sedang membesar memerlukan perhatian daripada kita.
Cukup sampai di sini sahaja luahan hati saya ya. Mari saya, tunjukkan projek-projek yang lakukan penghujung tahun 2015. Saya kini sarat mengandung anak ke 4, alahan dan kepenatan kadangkala membuatkan saya mengalah. Tapi , kerana anak-anak saya perlu kuat juga menghadapi hidup yang sukar ini. Kalau saya tak kuat, mana mungkin anak-anak juga memiliki kekuatan lebih daripada saya.
- Topi kait
- teko mini cozy
Teko ini saya kait khas untuk harijadi mak mertua. Siap dengan penuh kelamkabut satu hari, mula-mula nak buat beg, sekali beg boleh dikatakan mengambil masa lama juga nak disiapkan. Jadi timbul pula idea nak siapkan teko cozi ni, cukup sesuai dijadikan perhiasan di rumah. Ilham datangnya daripada blogger dragonfly. Pelbagai idea menarik di sini, seronok dengan blog berinfomasi seperti ini.
- Penanda buku bunga.
Alhamdullilah, penangan ABDR saya dikenali dengan kait melalui niche blog Panduan Seni Mengait. Tempahan daripada seorang novelis tanah air juga merupakan guru online di ABDR, Puan Monalita Mansor. Jemput singgah ke blog beliau, jangan segan-segan berhubung dengan beliau jika mahu menjadi penulis novel ya. Beliau merupakan pengajar penulisan kreatif, beliau juga berkongsi pelbagai informasi bagaimana menulis dengan baik di blog. Jangan lupa jenguk-jenguk di blog beliau.
Beliau menempah 50 keping penanda buku bunga untuk novelnya untuk 50 pembeli terawal. Harap pembacanya suka dengan hasil kait saya. Penanda buku ini hasil inspirasi daripada blogger Bautawitch. Saya sangat sukakan tutorialnya mudah difahami dan dipelajari.
Terdapat pelbagai idea menarik tentang paten kait yang boleh digunakan secara percuma di internet. Memang berbaloi kalau dicuba, kita yang baru bermula mengait ini jangan lepaskan peluang belajar dan terus belajar mengait, sampai cantik dan kemas. Mula daripada kosong kemudian kita maju setapak demi setapak. Cuma jangan berhenti menapak nanti perlu mula daripada kosong lagi.
Ok setakat ini sahaja jumpa lagi.
Label: Produk Kait
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama