Buku Berfikir Gaya Al-Fateh
Teks: Dalila Binti Mohd Yusof
Bismillahirahmanirahim dan assalamualaikum...
Buku: Berfikir Gaya Al-Fateh
Penulis: Muhammad Syaari Abdul Rahman
Penerbit: PTS Millennia
Penyumbang Kejayaan Al Fateh.
Buku ini menceritakan Faktor kejayaan penaklukan Konstantinople oleh Al Fateh bukanlah hanya kerana kata-kata Rasullulah yang bertindak sebagai penggerak dan motivasi bermulanya impian kaum muslimin menakluki Kota Konstantinople. Hakikatnya, tanpa usaha dan jihad yang berterusan Kerajaan Islam selama 800 tahun lamanya, penaklukan Konstantinople pada 1453 oleh Al Fateh adalah mustahil.
* Faktor kejayaan pertama adalah kesungguhan generasi terdahulu daripada zaman Rasullullah s.a.w berjihad dan mengorbankan diri di medan perang untuk menakluki kota tersebut.
Abu Ayub Al-Ansari mewasiatkan dirinya dikubur tempat terdekat dengan tembok Kota Konstantinople supaya beliau dapat mendengar tapak-tapak kaki kuda sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera. Supaya dia mengetahui kebenaran kata-kata Rasullulah s.a.w. Malahan, ada ramai lagi sahabat yang disemadikan bersama-sama Abu Ayub Al Ansari.
* Kegagalan membuatkan Kerajaan Islam semakin kuat
Kegagalan selama 800 tahun tidak membuatkan perjuangan terhenti. Setiap kekalahan dan kelemahan musuh dikaji dan diperturunkan ke generasi seterusnya. Malahan, mereka mempermudahkan lagi urusan generasi akan datang dengan memperkecilkan tanah jajahan Byzantin. Mereka menawan negara-negara dan kepulauan-kepulauan sekeliling Byzantin.
Ayah sebagai mentor. Guru dan Rotan untuk Al Fateh.
* Si ayah memanfaatkan setiap saat dan minit yang ada bersama anaknya.
Sultan Murad II terlalu sibuk dengan urusan di luar istana, baginda perlu menjaga khilafah daripada serangan tentera salib dan sekutu-sekutu mereka. Masa di luar istana lebih lama namun baginda tidak mensia-siakan setiap saat dan minit yang ada untuk mengulang-ulang hadith pembukaan Konstantinople ke telinga Al-Fateh, sambil menyakinkan anaknya.
" Kamulah sebaik-baik raja yang disebut Rasullulah s.a.w itu, dan bukan orang lain. "
Baginda menggunakan masa yang ada untuk mempasakkan wawasan yang selama ini tidak mampu dikecapi oleh enam orang sultan sebelum ini. Baginda mahukan Al fateh tidak tenggelam dengan kemewahan hidup istana. Kesempatan yang ada akan digunakan untuk menceritakan setiap kelemahan-kelemahan Konstantinople yang dikaji sepanjang 22 hari mengepung kota tersebut. Kegagalan menjatuhkan kota tersebut dengan meriam Falconetnya bukanlah sia-sia kerana baginda sudah dapat mengenal pasti titik kelemahan kota tersebut.
Baginda menggunakan masa yang ada untuk mempasakkan wawasan yang selama ini tidak mampu dikecapi oleh enam orang sultan sebelum ini. Baginda mahukan Al fateh tidak tenggelam dengan kemewahan hidup istana. Kesempatan yang ada akan digunakan untuk menceritakan setiap kelemahan-kelemahan Konstantinople yang dikaji sepanjang 22 hari mengepung kota tersebut. Kegagalan menjatuhkan kota tersebut dengan meriam Falconetnya bukanlah sia-sia kerana baginda sudah dapat mengenal pasti titik kelemahan kota tersebut.
* Doa seorang ayah.
Baginda hanya akan berpisah dengan anaknya selepas menunaikan solat hajat bersama-sama. Sultan Murad ii berdoa sambil menyebut dengan jelas nama anaknya sebagai manusia yang akan membuka Konstantinople. Selain berdoa, baginda sentiasa memfokuskan anaknya tentang wawasan pembukaan kota tersebut. Menurut Sheikh Hazim Abu Ismail, seorang pendakwah terkenal di Timur Tengah, Sultah Murad II akan sentiasa bertanya soalan, " Wahai anakku, apa yang sudah kamu lakukan untuk membuka Konstantinople pada hari ini? "
* Rotan untuk Al Fateh.
Muhamad II seperti kanak-kanak lain, nakal ketika kecil. Apatah lagi kedudukannya sebagai anak sultan yang dilimpahi dengan kekayaan istana, membuatkan egonya makin tinggi dan keras kepala menerima tunjuk ajar daripada si guru. Tambahan lagi jawatannya sebagai Gabenor Manissa walaupun usianya masih muda pada waktu itu, 8 tahun meninggikan lagi ego didada.
Ramai guru telah dipecat kerana kegagalan mengajar dan menundukkan keegoan si anak raja. Anak raja ini tidak mahu menerima ilmu dan menghafal Al-Quran. Guru pertama yang dipecat adalah Ilyas Effendi, bekas tahanan Serbia yang masuk Islam dan menjadi seorang guru teologi.
Kemudian, Sultan Murad II tidak berputus asa mengemukakan guru-guru lain untuk mengajar putera muda itu. Namun tetap tidak berjaya menangani karenah putera tersebut.
Akhirnya, baginda mengamanahkan Molla Gurani ( Syeikh Ahmad bin Ismail Bin Othman Al-Korani Shihabuddin Asy-Syafi'i) untuk untuk merotannya ( 813H-893H). Ini dilakukan supaya putera tersebut, serius belajar, belajar menghormati ulama dan meninggalkan tabiatnya yang bermain, mahukan kebebasan dan keseronokan sebagai anak raja.
Kesan rotan pada putera raja menjadikan baginda sangat menghormati ulama hingga hujung hayatnya, bukan sekadar cepat menghafal al-quran. Manusia yang luar biasa biasanya lahir daripada tarbiah yang ketat, keras dan mirip militari seperti yang tertulis dalam buku ini. Apatah lagi, abang-abang tirinya, mati dalam usia yang sangat muda, jadi baginda perlu serius dalam pendidikannya. Berdepan dengan musuh-musuh menggerunkan di luar lebih menakutkan jika jiwanya lemah dan mahukan keseronokan sahaja.
Ada banyak lagi faktor yang menyumbang kejayaan Al-Fateh, dan kejayaan tersebut bukanlah datang daripada Al-Fateh seorang. Al-Fateh hanyalah manusia biasa yang mencipta kejayaan luar biasa disamping mendapat pertolongan daripada ramai pihak. Namun, 3 faktor ini sangat penting direnungi dan dijadikan panduan untuk kita sebagai ibu untuk mendidik dan melatih anak-anak menjadi seperti Al-Fateh. Adakah kita mampu berkorban seperti generasi terdahulu, untuk mewujudkan zaman yang lebih baik untuk generasi akan datang? Adakah kita sudah memanfaatkan masa untuk anak-anak kita seperti mana Sultan Murad II yang terlalu sibuk dengan urusan jihadnya. Namun masih lagi mampu membenihkan keyakinan untuk Al-Fateh menjadi pembuka Kota Konstantinople? Baginda juga tidak lupa sentiasa berdoa untuk kejayaan Al-Fateh sebagai pembuka kota Konstatinople. Dan adakah kita sanggup memberikan rotan pada guru anak-anak kita, untuk menundukkan keegoan dan menjinakkan kenakalan anak-anak kita. Perjalanan membentuk anak yang hebat di dunia dan akhirat sangatlah sukar, dan menuntut kesabaran yang tinggi. Lagilah jika mahu membentuk insan seperti Al-Fateh yang mampu menggerunkan musuh-musuh Islam.
Label: Buku bacaan