Ubat sakit daripada mak.

Teks: Dalila Yusof

Bismillahirahmanirahim...

Assalamualaikum, sudah berapa lama aku sudah tak mencoret penulisanku di dinding blog. Kesakitan yang menjalar berbulan-bulan lamanya, membuatkan aku jadi culas menulis di blog malahan di  facebook. Sakit yang paling teruk aku alami, apabila pinggang bahagian kiri dan kaki terasa sakit untuk bergerak hampir 3 hari berkeadaan begitu barulah aku mampu bergerak laju. Anak-anak, suami dan rumah tak terurus.

Aku ambil keputusan menanyakan kesakitan ku kepada emak melalui telefon. Maklumlah ibuku jauh di Melaka. Tak mudah lagi aku merenggek dan balik kampung terutama waktu sakit. Emak hanya membebel apabila aku buat kerja mencangkul tanah dengan gelojoh. " Kalau ikutkan memang semua kerja tak boleh buat, tapi kita buat bersebab. Berhati-hatilah nak mencangkul. Kita niat nak menanam. "

Sebelum ini memang aku berhenti buat kerja berat-berat sebab lembik dek badan yang lemah selamah 6 bulan. Aku sakit kepala, loya muntah dan badan dan tak sekuat mana. Aku tahan sahaja melihat segala semak samun yang tumbuh subur di belakang rumah. Apabila badan kuat aku mula berangan nak bersihkan tanah macam dulu. Rupanya, silap langkah mencangkul dengan perut memboyot memang mencari nahas. Buat kerja tak beringat begitulah. Rakus aku mencangkul, dan mengemas sampai tak sedar fizikal tak sekuat dulu.

Hasilnya aku merengek dengan anak-anak sendiri, nasiblah anak-anak sudah boleh disuruh walaupun banyak merungut daripada melakukan kerja. Alhamdullilah selepas mendengar bebelan mak, aku beransur baik. Sesungguhnya ubat paling mujarab adalah mendengar bebelan mak. Aku sudah boleh bergerak bebas untuk buat kerja. Namun masih dalam langkah hati-hati, bimbang juga sakit menjalar kembali. Kerja masih banyak namun aku siapkan sedikit demi sedikit. Rehat banyak pun bahaya, buat kerja banyak pun bahaya.

Ulasan